Sunday, October 3, 2010

Pengaruh AS dalam dunia Islam

Amerika Syarikat (AS) merupakan salah sebuah negara maju yang memiliki kekuatan dalam pelbagai aspek. Seorang bekas penasihat keselamatan White House Zbigniew Brzezinksi, pernah membuat kesimpulan dengan mengatakan bahawa AS ialah satu-satunya kuasa gergasi global yang pertama dan terakhir. Kesimpulan ini dibuat dalam menghitung kekuatan, kuasa, kedudukan serta masa depan negara itu sebagai sebuah kuasa global yang tiada bandingan. Menurut Muhammad Nuruddin Bashah (2010) dalam artikelnya yang bertajuk ‘Pengaruh AS dalam Dunia Islam’, hegemoni AS dalam setiap aktiviti global memang sukar digugat. Menurut Kamus Dewan (DBP:2008), hegemoni bermaksud pengaruh atau dominasi sesebuah negara atas negara lain. Menurut Muhammad Nuruddin Bashah (2010) lagi, hegemoni AS bukan sahaja diukur dengan pencapaian ekonomi, malah dinilai melalui pengaruh individu tertentu di AS yang menguasai dunia termasuk negara Islam. Menurut laman forbes.com, individu yang paling berpengaruh di dunia kebanyakannya daripada barat dan rakyat AS. Namun begitu, hanya seorang sahaja penganut Islam disenaraikan dalam laman web tersebut di tangga kesembilan iaitu, Abdullah bin Abdul Aziz al-Saud, Raja Arab Saudi, negara yang memiliki paling banyak simpanan minyak di dunia.

AS merupakan negara yang terlibat dengan pertubuhan-pertubuhan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan menjadi ahli G8 iaitu sebuah penubuhan lapan negara yang terdiri daripada negara yang paling kaya dan berteknologi tinggi. AS juga memegang jawatan tertinggi dalam penubuhan-penubuhan dunia yang disertainya. Oleh itu, AS mempunyai kuasa pengaruh yang besar. Negara Islam dan umat Islam juga tidak terlepas daripada dipengaruhi oleh AS daripada aspek politik, ekonomi mahupun sosial. Sebagai contoh, pencerobohan Amerika terhadap Iraq menunjukkan kekuatan politik mereka terhadap negara lain di dunia. Menurut Ruhanas Harun (2007), pencerobohan di Iraq dan Afghanistan ialah untuk mendemokrasikan negara-negara itu serta menyelamatkan mereka daripada pemerintahan diktator, sama ada Taliban atau Saddam Hussein. Jika dilihat dari sudut politik, sesebuah negara tidak boleh campur tangan dalam negara lain, tetapi dalam kes ini AS telah menunjukkan kekuasaanya dengan alasan memperjuangkan demokrasi. Begitu juga dengan pengaruh AS dalam mengubah tanggapan dunia mengenai Islam selepas kejadian 11 September. AS telah mengaitkan Islam dengan pengganas, akibatnya pergolakan dan huru-hara telah berlaku di negara-negara yang mempunyai penduduk Islam minoriti seperti di Thailand dan Filipina.

Selain itu, dari sudut ekonomi, AS telah mempengaruhi dunia dengan sistem kapitalisme yang menyebabkan negara miskin menjadi lebih miskin dan negara kaya terus mengaut keuntungan. Globalisasi telah membantu usaha AS dalam sistem kapitalisme sehingga negara tersebut memiliki keuntungan yang besar. Buktinya dapat dilihat melalui statistik kedudukan sepuluh buah syarikat paling terkenal di dunia yang dikeluarkan oleh Interbrand. Hanya dua syarikat terkemuka milik negara lain, selebihnya adalah daripada AS seperti syarikat Coca-Cola, Microsoft dan McDonalds. Produk-produk mereka terjual di seluruh dunia. Kebanyakan barang dan pakaian yang digunakan umat Islam secara sedar atau tidak adalah keluaran AS malah makanan yang dimakan juga adalah dari perusahaan mereka.

Oleh itu, umat Islam harus sedar akan hakikat pengaruh AS terhadap kehidupan umat Islam. Menurut Muhammad Nuruddin Bashah (2010), kekuatan politik merupakan kekuatan utama umat Islam di samping pemerkasaan pendidikan, keilmuan dan kepakaran. Penglibatan politik merupakan sesuatu yang baik dan dapat memberi kelebihan kepada umat Islam. Dengan menyertai politik dan memiliki pengaruh yang besar, umat Islam dapat mempengarui semua aspek lain seperti ekonomi dan seterusnya mencorakkan kembali kehidupan umat Islam menerusi pembangunan berteraskan Islam. Dalam penyertaan politik, umat Islam harus memilih pemimpin yang bijak dan mempunyai kekuatan dari segi agama. Rasulullah s.a.w. telah menganjurkan untuk memilih ketua dalam kumpulan kecil sepertimana sabda Baginda yang bermaksud:

“Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah dilantik seorang daripadanya sebagai ketua.”

Dalam Islam, pemilihan pemimpin sangat penting kerana pemimpin menjadi wakil yang akan mempertahankan agama, negara dan bangsanya. Rakyat juga harus taat kepada pemimpin bagi melancarkan urusan pemimpin dalam menguruskan negara seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud;

“Wahai orang-orang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan ulil amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu. Kemudian, jika kamu bebeza pandangan tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya),jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian.yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

(Surah An-Nisa, 4:59)

Pemimpin yang terpilih haruslah membawa rakyatnya ke arah kemajuan yang berlandaskan syariat Islam. Umat Islam hari ini haruslah mengambil peluang yang ada untuk memantapkan diri dan membina sistem pentadbiran yang kukuh, bersaing dengan ekonomi orang asing selagi tidak membawa kezaliman dan belajar dari semua bangsa. Ekonomi yang diasaskan dari pemikiran barat membawa kesan negatif kepada umat Islam seperti kapitalisme yang berprinsipkan ‘siapa cepat dia dapat’ dan menjadikan manusia sebagai makhluk ekonomi. Oleh itu, pembangunan berteraskan Islam perlu dilakukan sekiranya umat Islam ingin cemerlang seperti tamadun Islam dahulu. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003) Pembangunan berteraskan Islam dapat menegakkan hubungan dengan Allah s.w.t (hablumminallah) dan seterusnya hubungan dengan manusia dan alam (hablumminannas). Al-‘Ubudiyyah atau rasa kehambaan penting dalam pembangunan. Dalam sejarah ketamadunan, kejayaan umat Islam terdahulu juga berkait dengan rasa kehambaan kepada Allah. Umat Islam kini harus memastikan diri mereka tidak terjerumus dalam sistem barat dan menggunakan sistem yang berlandaskan syariat Islam.

Umat Islam juga perlu mempelajari ilmu-ilmu dunia, fardu kifayah dan ilmu akhirat serta menjadi pakar dalam sesuatu bidang. Menurut Danial Zainal Abidin (2005), tokoh-tokoh terkemuka dahulu merupakan orang Islam contohnya seperti Al-Kawarizmi merupakan pakar matematik dan Ibnu Sina merupakan pakar perubatan. Islam telah memimpin dunia dalam bidang ilmu dan tamadun. Tanpa Islam, barat tidak dapat mengecapi era kebangkitan atau renaissance. Namun hari ini kemunculan barat yang telah mengambil ilmu daripada tokoh-tokoh Islam lebih terlihat peranannya dan mereka maju dalam pelbagai bidang. Umat Islam harus mengembalikan semula sejarah kegemilangan tamadun Islam dengan menjadi pakar dalam bidang-bidang penting seperti sains. Umat Islam juga haruslah mengeluarkan dan mempelbagaikan produk-produk Islam yang halal disisi syarak untuk kegunaan semua terutamanya produk makanan. Makanan penting kerana makanan akan menjadi darah daging manusia dan akan membentuk keperibadian insan. Kepentingan mengambil makanan disebut dalam ayat al-Quran yang bermaksud,

“Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata.”

(Surah al-Baqarah, 2:168)

Selain itu, umat Islam harus meluaskan pengetahuan dengan mempelajari pelbagai ilmu di serata dunia walaupun daripada orang kafir kerana salah satu ciri Islam ialah al-Thawabit wa al-Mutaghayirat (tetap dan berubah). Umat islam juga bebas membina sistem Hal ini penting kerana umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran seperti yang dipetik dari sebuah buku bertajuk Menangani Cabaran Membina Kecemerlangan Tamadun ummah (1994), umat Islam berhadapan dengan cabaran globalisai, ekonomi, perpaduan, membina semula imej Islam, cabaran dalam bidang keilmuan, cabaran budaya dan proses menawarkan model tamadun Islam. Cabaran-cabaran ini perlu dihadapi oleh umat Islam dan persiapan menghadapi cabaran ini perlu diberikan kepada generasi baru kerana cabaran yang akan mereka tempuhi nanti akan lebih mencabar. Sayidina Umar al-Khattab berpesan,

“Didiklah anak-anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu”.

Kesimpulannya, umat Islam hari ini perlu bangun dari tidur dan memulakan misi baru bagi mengelakkan pengaruh barat terutamanya AS daripada terus membelenggu negara dan umat Islam. Umat Islam perlu bersatu dan bersama-sama membangunkan semula kegemilangan tamadun Islam yang pernah wujud dahulu. Penerapan nilai-nilai Islam terhadap generasi muda haruslah giat dijalankan dan pendidikan harus diberikan secara berterusan kepada mereka. Ingatlah firman Allah s.w.t yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubahnya.”

(Ar-Ra'ad, 13:11)

Rujukan.

Danial Zainal Abidin (2005). Tip-tip cemerlang daripada Quran. Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn.Bhd.

Muhammad Nuruddin Bashah. Pengaruh AS dalam Dunia Islam. Dipetik daripada Dewan masyarakat keluaran Februari 2010.

Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur, Zebra Editions Sdn. Bhd.

Ruhanas Harun (2007). AS kuasa gergasi global unggul? Diakses daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0616&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm&arc=hive




Monday, September 27, 2010

CIRI-CIRI TASAWUR ISLAM: AL-‘UBUDIYYAH


Islam merupakan agama yang memiliki cara pandang tersendiri (tasawur) dalam melihat sesuatu. Ia jelas berbeza daripada tasawur barat. Tasawur Islam mempunyai ciri-ciri tertentu, antaranya ialah al-‘Ubudiyyah. Al-‘Ubudiyyah merupakan perkataan Arab yang bermaksud perhambaan atau ibadah. Menurut Kamus Dewan (2007:505), kehambaan bermaksud keadaan menjadi hamba, syarat atau asas perkenalan sesama manusia termasuklah patuh, taat dan mengaku kepada Allah s.w.t. Maksud hamba dalam Kamus Dewan (2007) ini lebih berbentuk umum. Ia merangkumi perhambaan sesama manusia dan perhambaan kepada Allah s.w.t.

Secara lebih khusus lagi, Ibnu Taimiyah (1983:3) berpendapat bahawa perhambaan bererti kebebasan dari berhala dengan segala bentuk dan manifestasinya. Satu perhambaan yang dapat membebaskan diri seseorang daripada perhambaan berhala yang hendak merosakkan nilai-nilai kemanusiaan. Tetapi perhambaan yang dimaksudkan ialah perhambaan yang sinonim dengan keluhuran dan kebahagiaan, yang hendak mengembalikan manusia kepada kehormatannya serta mengangkatnya ke darjat yang tinggi. Perhambaan tersebut adalah perhambaan kepada Allah s.w.t yang telah menjadikan manusia daripada tiada, yang meniup roh kepada manusia dan telah menundukkan malaikat untuk sujud kepada manusia serta menempatkan manusia ke syurga-Nya. Hal ini bermaksud manusia merupakan hamba kepada Penciptanya yang mempunyai kuasa dalam segala urusan di dunia. Perhambaan ini wajib ditunjukkan oleh manusia kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Hai manusia! Sembahlah Tuhanmu.” (al-Baqarah, 2:21).

Selain itu, penghambaan ini juga adalah bagi semua makhluk ciptaan Allah s.w.t yang lain. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Aku tidak menjadikan jin dan manusia, melainkan supaya beribadah kepadaKu.” (az-Dzariyat, 51:56)

Perhambaan mempunyai kaitan dengan ibadah. Ibadah yang dilakukan oleh manusia dan makhluk-makhluk ciptaan Allah s.w.t yang lain menunjukkan adanya rasa kehambaan kepada Pencipta yang Esa. Menurut Ibnu Taimiyah (1983:6), perkataan ibadah meliputi semua perkara yang dicintai dan diredhai Allah s.w.t; mencakupi seluruh ucapan dan perbuatan, sama ada nampak mahupun yang tidak nampak, seperti solat, zakat, puasa, haji, berkata benar, menunaikan amanah, berbuat baik kepada orang tua, bersilaturrahim, memenuhi janji, menyuruh berbuat baik dan melarang perbuatan mungkar, berperang melawan kekufuran dan kemunafikan, lemah lembut terhadap tetangga dan anak yatim dan sebagainya.

Hampir sama dengan penjelasan Ibnu Taimiyah (1983) ini ialah penjelasan Haron Din (1992:41). Menurut beliau, perkataan ibadah dalam pemakaian syarak bererti tunduk, patuh kepada perintah-perintah Allah s.w.t dengan rasa cinta kepada-Nya. Ibadah dalam pemakaian ayat dengan sendirinya bererti segala perbuatan, percakapan dan lintasan di hati manusia yang dilakukan kerana mematuhi perintah Allah dengan penuh rela dan cinta kepada-Nya dinamakan ibadah dalam erti kata yang amat luas. Seperti yang telah dinyatakan, penciptaan mahkluk adalah untuk beribadah kepada Allah s.w.t dan setiap manusia haruslah menjalankan kewajipannya sebagai hamba Allah s.w.t dengan melakukan ibadah tanpa mengira waktu dan usia. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Dan sembahlah Tuhanmu hingga datang kepadamu maut.” (al-Hijr, 15:99)

Penghambaan dan ibadah yang dilakukan secara istiqamah akan membawa kepada keadaan yang aman dan damai kerana setiap makhluk yang ada di bumi ini perlu mematuhi aturan dan peraturan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Ia tidak melakukan sesuatu itu dengan sia-sia. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya yang bermaksud:

“dan tidaklah Kami jadikan langit dan bumi dan apa sahaja yang ada di antara kedua-dua sebagai bermain (sia-sia belaka). Kalau sekiranya Kami hendak bermain-main, nescaya kami adakan dari sisi kami, jika Kami hendak memperbuatkannya. Bahkan Kami campakkan kebenaran dia atas yang batil lalu dipercayakannya tiba-tiba yang batil itu lenyap. Untuk kamu kecelakaan sebab kamu mengatakan Allah dengan sifat-sifat yang tidak baik. kepunyaanNyalah mereka yang di langit dan di bumi dan siapa yang disisi-Nya tiada sombong, dengan masing-masing menyembah-Nya tanpa merasa sebarang keberatan dan kepenatan. Mereka bertasbih siang dan malam dan mereka tidak pernah berhenti melakukan (ibadat) yang demikian itu.” (al-Anbiya’, 21:16-20)

Berdasarkan keseluruhan perbincangan di atas, didapati al-‘Ubudiyyah ada kaitan rapat dengan pembangunan berteraskan Islam (PBI). Ia merupakan salah satu daripada prinsip PBI. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003:47) al-‘Ubudiyyah atau ibadah merupakan prinsip PBI yang kelima. Ia menjadi sebagai perkaedahan pembangunan. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003:47-48) lagi, perlaksanaan PBI tidak mungkin menjadi ibadah kecuali mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan. Oleh sebab ibadah mempunyai pengkaedahan-pengkaedahan berkenaan, maka sekaligus ibadah jugalah yang menjadi perkaedahan kepada pembangunan berteraskan Islam, seperti juga segala perbuatan manusia di atas muka bumi ini.

Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003:48-52), ibadah boleh dibahagikan kepada tiga bentuk, yakni ibadah asas, amalan-amalan utama (fadho-ilul ‘amal) dan ibadah umum. Ibadah asas seperti sembahyang, zakat dan haji merupakan fardu ‘ain iaitu ibadah yang patut dilakukan oleh setiap individu. Dengan melakukan ibadah ini, manusia akan dapat menegakkan hubungannya dengan Allah s.w.t (hablum-minallah). Dengan menegakkan hubungan dengan Allah s.w.t, manusia juga menegakkan pembangunan kerohanian. Amalan-amalan utama yang digalakkan dalam Islam seperti berwirid dan berzikir juga dapat meningkatkan hubungan dengan Allah s.w.t dan membuatkan pembangunan kerohanian seseorang menjadi kian kuat. Ibadah yang bersifat fardhu kifayah seperti politik, pembangunan dan perubatan akan mendekatkan hubungan sesama manusia (hablum-minannas). Ibadah asas dan ibadah utama membawa kepada pembangunan kerohanian manakala ibadah umum membawa kepada pembangunan material dan fizikal. Gabungan antara kaedah ibadah dapat membentuk pembangunan berteraskan Islam.

Kesimpulannya, ibadah merupakan kaedah dalam PBI. Dengan melakukan ibadah kepada Allah s.w.t dan mengikut segala peraturan yang ditetapkan dan meninggalkan larangan-Nya, kita dapat mencapai pembangunan yang seimbang yakni pembangunan rohani dan juga pembangunan material dan fizikal.


Bibliografi

Tanpa Pengarang (2007). Kamus Dewan Edisi Keempat, cetakan kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haron Din (1992). Tasawur Islam. Shah Alam: Penerbitan Hizbi.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah (1983). Al ‘Ubudiyyah Hakikat Penghambaan Manusia Kepada Allah. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.