Thursday, August 19, 2010

Mengendalikan masalah moral remaja secara rasional

Masalah moral remaja di negara kita semakin hari semakin serius. Remaja kini tidak lagi seperti dahulu. Pelbagai masalah telah ditimbulkan oleh mereka. Dan masalah yang ditimbulkan memberi kesan negatif bukan sahaja terhadap diri mereka malah kepada keluarga dan masyarakat. Banyak artikel dan penulisan dihasilkan bagi membincangkan punca dan penyelesaian mengenai masalah sosial remaja masa kini. Salah satunya ialah artikel bertajuk Mengendalikan masalah moral remaja secara rasional yang disiarkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 6 Ogos 2010.

Menurut penulis artikel ini, Dr.Saodah Abd Rahman, internet dan telefon bimbit yang canggih memudahkan remaja dan kanak-kanak memperoleh dan menonton aksi-aksi lucah yang boleh mempengaruhi pemikiran dan jiwa mereka. Salah satu punca masalah sosial berlaku adalah disebabkan oleh teknologi. Era globalisasi dan permodenan telah mengubah cara hidup masyarakat di negara kita Penghasilan telefon bimbit serta internet telah memudahkan komunikasi, namun begitu terdapat sesetengah golongan masyarakat telah menyalahgunakan kepentingan dan kelebihan teknologi demi kepuasan nafsu terutamanya golongan remaja. Penyebaran video lucah sering dilakukan oleh remaja tanpa mengira usia. Menurut artikel ini lagi, hasil kajian mendapati ramai remaja menjelaskan bahawa adegan seks yang dihantar oleh rakan-rakan mereka mendorong mereka melakukan hubungan seks secara haram bersama pasangan mereka. Oleh itu, tidak hairanlah apabila ada remaja yang baru berusia belasan tahun telah mengetahui berkenaan dengan seks. Bukan sekadar mengetahui malah mereka telahpun mencubanya.

Kesan daripada percubaan ini, maka ramailah golongan remaja mengandung tanpa bernikah. Jumlah remaja yang terlibat dengan masalah ini semakin hari semakin meningkat. Mereka bukan sahaja tidak segan dan malu malah mereka merasakan itulah cara hidup mereka. Sudahlah mereka melakukan zina, ada diantara mereka yang sanggup melakukan pengguguran haram demi menutup kesalahan yang telah mereka lakukan. Pengguguran haram dilarang oleh Islam kerana ianya ibarat membunuh. Tambahan pula membunuh bayi yang tidak berdosa. Dalam Al-Quran ada ayat yang melarang manusia membunuh iaitu dalam Surah An-Nisa ayat 93:

Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”

Ada juga remaja yang melahirkan bayi tetapi mengambil keputusan untuk membuang bayi tersebut. Pembuangan bayi bukanlah perkara yang baru, perbuatan kejam tersebut telah berlaku dahulu lagi. Seperti zaman jahiliyah, bayi-bayi perempuan dibunuh demi menutup perasaan malu, begitulah halnya yang berlaku hari ini tetapi bukan sahaja melibatkan bayi perempuan malah bayi lelaki juga dibuang oleh remaja yang tidak bertanggungjawab. Kes pembuangan bayi semakin hari semakin meningkat selari dengan peningkatan gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang berlaku pada remaja masa kini.

Oleh itu, pembenterasan gejala pembuangan bayi dan penyelesaian masalah sosial perlu dilakukan segera. Hal ini telah membawa kepada idea menggalakkan perkahwinan di usia muda. Namun begitu, bagi penulis artikel ini, perkahwinan di kalangan remaja bawah umur (18 tahun) bukan merupakan satu cara yang paling berkesan untuk membenteras gejala moral. Saya bersetuju dengan penulis yang telah membuat perbincangan mengenai perkahwinan di usia muda di dalam artikel ini. Penulis telah membezakan remaja pada zaman dahulu dan remaja pada masa kini. Perkahwinan remaja zaman dahulu adalah wajar kerana jika dilihat dari sudut karekter mereka lebih matang dan mampu mencari wang sendiri berbanding dengan remaja zaman moden. Taraf hidup pada zaman tersebut juga tidak terlalu tinggi berbanding zaman sekarang.

Perkahwinan remaja moden sememangnya boleh mengurangkan masalah moral remaja, namun begitu, masalah lain mungkin akan timbul hasil daripada perkahwinan remaja yang masih mentah. Banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh mereka dari segi kewangan dan tanggungjawab rumahtangga. Keadaan ekonomi yang lemah dan peningkatan harga barangan mungkin akan memberi masalah kepada rumahtangga yang dibina. Sikap pasangan muda yang tidak matang dalam membuat keputusan mungkin boleh membawa kepada penceraian. Tambahan pula penceraian memang dikaitkan dengan 'kahwin muda' dan Allah s.w.t tidak suka akan penceraian seperti yang telah dinyatakan dalam Riwayat Abu Daud dan Hakim,

“Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak.”

Selain itu, sekiranya remaja tersebut tidak memiliki asas agama yang kukuh mungkin sukar bagi pasangan remaja tersebut membina sebuah keluarga Islam yang mengikut ajaran al-Quran dan sunnah. Apabila keluarga yang tidak mengikut ajaran agama ini bertambah kuantitinya, maka, generasi yang akan datang mungkin akan membawa masalah yang sama pada masa depan.

Dalam hal ini, ibu bapa haruslah memainkan peranan yang penting. Ibu bapa perlu memberikan didikan agama yang baik kepada anak-anak mereka kerana anak-anak merupakan amanah Allah s.w.t. Anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang perlu mencorakkan mereka. Penulis menyarankan ibu bapa, guru dan masyarakat membuka minda remaja supaya menumpukan kepada pelajaran dan perkara yang boleh mempertingkatkan kehidupan mereka. Ibu bapa harus memantau anak-anak mereka supaya anak-anak mereka berdisiplin. Hal yang lebih penting lagi ialah mengajar anak-anak mereka agar mematuhi ajaran agama. Selain itu, guru dan masyarakat perlu menjalankan tanggungjawab bersama dalam memantau disiplin remaja masa kini. Pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam membanteras video-video lucah agar tidak tersebar hingga dapat ditonton oleh remaja yang mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling.

Media massa juga haruslah menapis dahulu gambar-gambar dan iklan-iklan yang menjurus ke arah negatif daripada disiarkan di kaca televisyen mahupun di dalam majalah. Mereka juga perlu menerangkan kesan-kesan negatif daripada masalah moral yang berlaku pada masa kini. Media boleh menjadi agen untuk menyebarkan kesedaran menghindari maksiat dan gejala negatif kepada remaja dan masyarakat. Penjelasan tentang hukum hakam dalam pergaulan bebas dan penutupan aurat patut diberi perhatian oleh semua pihak. Ceramah dan forum di sekolah-sekolah patut diadakan selalu agar remaja di sekolah dapat mengetahui sedikit sebanyak input tentang agama terutamanya dalam soal akidah dan akhlak bagi mengelakkan mereka terus terjerumus dalam maksiat. Pergaulan bebas dan masalah sosial akan membawa kepada zina dan Allah s.wt berfirman:

Dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat.” (al-Isra:32)

Dengan menghampiri zina, remaja akan mendapat dosa dan akan berdepan dengan pelbagai masalah bukan sahaja dari segi kesihatan mental, fizikal dan psikologi, malah penularan penyakit seperti AIDS dan siflis turut boleh berlaku kepada mereka.

Selain peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak, remaja sendiri haruslah mengubah sikap. Penyelesaian masalah dapat diperolehi sekiranya remaja masa kini berubah sikap. Remaja sendiri harus memiliki jati diri dan nilai moral yang tinggi. Mereka harus melihat ke hadapan dalam mencapai impian dan cita-cita. Masalah ini akan berakhir sekiranya semua remaja di Malaysia mempunyai kesedaran untuk menjaga maruah diri, agama dan negara. Sekiranya mereka berpegang dengan ajaran Allah s.w.t, maka mereka tidak akan tersesat. Menjaga pandangan dan aurat dapat menghindarkan diri daripada terjebak dengan zina dan masalah moral yang lain.

Pengaruh barat yang kuat ke atas pakaian dan lagu juga harus ditolak. Budaya kuning bukanlah budaya kita. Cara hidup yang kebaratan juga harus diubah. Remaja sendiri harus mentransformasikan diri mereka supaya kehidupan mereka selaras dengan tuntutan agama dan mengikut syarak. Begitu juga dengan soal makanan. Remaja harus memilih makanan yang halal dan berkualiti kerana mengikut kecenderungan memakan makanan barat, remaja adalah golongan yang paling banyak jumlahnya. Menjaga makanan juga penting kerana makanan yang akan menjadi darah daging kita. Sekiranya makanan yang diambil itu tidak elok, maka akan terlahirlah sifat-sifat yang tidak elok dari dalam diri seseorang remaja. Remaja juga haruslah memiliki sifat syukur. Dengan adanya sifat syukur, mereka akan lebih dekat dengan Allah s.w.t. Allah s.w.t juga berfirman,

"Hai orang-orang yang beriman, makanlah diantara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah." (al-Baqarah: 172)

Kesimpulannya, ibubapa dan guru serta ahli masyarakat bertanggungjawab dalam menyedarkan remaja tentang hala tuju mereka. Masa remaja harus digunakan dengan baik kerana remaja hanya sekali. Masa muda haruslah dimanfaatkan dengan aktiviti yang berfaedah serta menuntut ilmu dan nabi juga meminta umatnya menuntut ilmu walau ke negari China. Ilmu merupakan asas kepada kebahagian dan kejayaan pada masa hadapan. Oleh itu, seseorang remaja haruslah memiliki dan mengamalkan ilmu yang ada supaya hidup mereka lebih senang pada masa hadapan. Mereka boleh memilih bidang-bidang yang mereka minati contohnya seperti bidang pendidikan, perubatan dan pertanian untuk melanjutkan pelajaran supaya mereka dapat menggunakan ilmu mereka nanti untuk dimanfaatkan kepada masyarakat. Remaja juga harus ingat kepada lima perkara yang disebutkan dalam riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi dan boleh menjadikan ia motivasi untuk memajukan diri. Lima perkara yang disebutkan itu ialah,

Gunakanlah lima sebelum tibanya lima iaitu gunakan mudamu sebelum tuamu, dan masa sihatmu sebelum sakitmu, dan masa kayamu sebelum miskinmu dan masa lapangmu sebelum sibukmu dan hidupmu sebelum matimu.”


Tuesday, August 10, 2010


Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa buat teman-teman dan pensyarah di ISDEV.