Monday, September 27, 2010

CIRI-CIRI TASAWUR ISLAM: AL-‘UBUDIYYAH


Islam merupakan agama yang memiliki cara pandang tersendiri (tasawur) dalam melihat sesuatu. Ia jelas berbeza daripada tasawur barat. Tasawur Islam mempunyai ciri-ciri tertentu, antaranya ialah al-‘Ubudiyyah. Al-‘Ubudiyyah merupakan perkataan Arab yang bermaksud perhambaan atau ibadah. Menurut Kamus Dewan (2007:505), kehambaan bermaksud keadaan menjadi hamba, syarat atau asas perkenalan sesama manusia termasuklah patuh, taat dan mengaku kepada Allah s.w.t. Maksud hamba dalam Kamus Dewan (2007) ini lebih berbentuk umum. Ia merangkumi perhambaan sesama manusia dan perhambaan kepada Allah s.w.t.

Secara lebih khusus lagi, Ibnu Taimiyah (1983:3) berpendapat bahawa perhambaan bererti kebebasan dari berhala dengan segala bentuk dan manifestasinya. Satu perhambaan yang dapat membebaskan diri seseorang daripada perhambaan berhala yang hendak merosakkan nilai-nilai kemanusiaan. Tetapi perhambaan yang dimaksudkan ialah perhambaan yang sinonim dengan keluhuran dan kebahagiaan, yang hendak mengembalikan manusia kepada kehormatannya serta mengangkatnya ke darjat yang tinggi. Perhambaan tersebut adalah perhambaan kepada Allah s.w.t yang telah menjadikan manusia daripada tiada, yang meniup roh kepada manusia dan telah menundukkan malaikat untuk sujud kepada manusia serta menempatkan manusia ke syurga-Nya. Hal ini bermaksud manusia merupakan hamba kepada Penciptanya yang mempunyai kuasa dalam segala urusan di dunia. Perhambaan ini wajib ditunjukkan oleh manusia kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Hai manusia! Sembahlah Tuhanmu.” (al-Baqarah, 2:21).

Selain itu, penghambaan ini juga adalah bagi semua makhluk ciptaan Allah s.w.t yang lain. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Aku tidak menjadikan jin dan manusia, melainkan supaya beribadah kepadaKu.” (az-Dzariyat, 51:56)

Perhambaan mempunyai kaitan dengan ibadah. Ibadah yang dilakukan oleh manusia dan makhluk-makhluk ciptaan Allah s.w.t yang lain menunjukkan adanya rasa kehambaan kepada Pencipta yang Esa. Menurut Ibnu Taimiyah (1983:6), perkataan ibadah meliputi semua perkara yang dicintai dan diredhai Allah s.w.t; mencakupi seluruh ucapan dan perbuatan, sama ada nampak mahupun yang tidak nampak, seperti solat, zakat, puasa, haji, berkata benar, menunaikan amanah, berbuat baik kepada orang tua, bersilaturrahim, memenuhi janji, menyuruh berbuat baik dan melarang perbuatan mungkar, berperang melawan kekufuran dan kemunafikan, lemah lembut terhadap tetangga dan anak yatim dan sebagainya.

Hampir sama dengan penjelasan Ibnu Taimiyah (1983) ini ialah penjelasan Haron Din (1992:41). Menurut beliau, perkataan ibadah dalam pemakaian syarak bererti tunduk, patuh kepada perintah-perintah Allah s.w.t dengan rasa cinta kepada-Nya. Ibadah dalam pemakaian ayat dengan sendirinya bererti segala perbuatan, percakapan dan lintasan di hati manusia yang dilakukan kerana mematuhi perintah Allah dengan penuh rela dan cinta kepada-Nya dinamakan ibadah dalam erti kata yang amat luas. Seperti yang telah dinyatakan, penciptaan mahkluk adalah untuk beribadah kepada Allah s.w.t dan setiap manusia haruslah menjalankan kewajipannya sebagai hamba Allah s.w.t dengan melakukan ibadah tanpa mengira waktu dan usia. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Dan sembahlah Tuhanmu hingga datang kepadamu maut.” (al-Hijr, 15:99)

Penghambaan dan ibadah yang dilakukan secara istiqamah akan membawa kepada keadaan yang aman dan damai kerana setiap makhluk yang ada di bumi ini perlu mematuhi aturan dan peraturan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Ia tidak melakukan sesuatu itu dengan sia-sia. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya yang bermaksud:

“dan tidaklah Kami jadikan langit dan bumi dan apa sahaja yang ada di antara kedua-dua sebagai bermain (sia-sia belaka). Kalau sekiranya Kami hendak bermain-main, nescaya kami adakan dari sisi kami, jika Kami hendak memperbuatkannya. Bahkan Kami campakkan kebenaran dia atas yang batil lalu dipercayakannya tiba-tiba yang batil itu lenyap. Untuk kamu kecelakaan sebab kamu mengatakan Allah dengan sifat-sifat yang tidak baik. kepunyaanNyalah mereka yang di langit dan di bumi dan siapa yang disisi-Nya tiada sombong, dengan masing-masing menyembah-Nya tanpa merasa sebarang keberatan dan kepenatan. Mereka bertasbih siang dan malam dan mereka tidak pernah berhenti melakukan (ibadat) yang demikian itu.” (al-Anbiya’, 21:16-20)

Berdasarkan keseluruhan perbincangan di atas, didapati al-‘Ubudiyyah ada kaitan rapat dengan pembangunan berteraskan Islam (PBI). Ia merupakan salah satu daripada prinsip PBI. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003:47) al-‘Ubudiyyah atau ibadah merupakan prinsip PBI yang kelima. Ia menjadi sebagai perkaedahan pembangunan. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003:47-48) lagi, perlaksanaan PBI tidak mungkin menjadi ibadah kecuali mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan. Oleh sebab ibadah mempunyai pengkaedahan-pengkaedahan berkenaan, maka sekaligus ibadah jugalah yang menjadi perkaedahan kepada pembangunan berteraskan Islam, seperti juga segala perbuatan manusia di atas muka bumi ini.

Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003:48-52), ibadah boleh dibahagikan kepada tiga bentuk, yakni ibadah asas, amalan-amalan utama (fadho-ilul ‘amal) dan ibadah umum. Ibadah asas seperti sembahyang, zakat dan haji merupakan fardu ‘ain iaitu ibadah yang patut dilakukan oleh setiap individu. Dengan melakukan ibadah ini, manusia akan dapat menegakkan hubungannya dengan Allah s.w.t (hablum-minallah). Dengan menegakkan hubungan dengan Allah s.w.t, manusia juga menegakkan pembangunan kerohanian. Amalan-amalan utama yang digalakkan dalam Islam seperti berwirid dan berzikir juga dapat meningkatkan hubungan dengan Allah s.w.t dan membuatkan pembangunan kerohanian seseorang menjadi kian kuat. Ibadah yang bersifat fardhu kifayah seperti politik, pembangunan dan perubatan akan mendekatkan hubungan sesama manusia (hablum-minannas). Ibadah asas dan ibadah utama membawa kepada pembangunan kerohanian manakala ibadah umum membawa kepada pembangunan material dan fizikal. Gabungan antara kaedah ibadah dapat membentuk pembangunan berteraskan Islam.

Kesimpulannya, ibadah merupakan kaedah dalam PBI. Dengan melakukan ibadah kepada Allah s.w.t dan mengikut segala peraturan yang ditetapkan dan meninggalkan larangan-Nya, kita dapat mencapai pembangunan yang seimbang yakni pembangunan rohani dan juga pembangunan material dan fizikal.


Bibliografi

Tanpa Pengarang (2007). Kamus Dewan Edisi Keempat, cetakan kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haron Din (1992). Tasawur Islam. Shah Alam: Penerbitan Hizbi.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah (1983). Al ‘Ubudiyyah Hakikat Penghambaan Manusia Kepada Allah. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment